? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Monday, March 15, 2010

my father is my..........

Ketika berjauhan,


Masih kurasa hangat kasihmu ayah.

Betapa kurindukan redup wajahmu,

Hadir menemaniku.



Mungkin ramai yang tersentuh apabila mendengar lirik lagu ini.Ku lihat ramai kawanku yang tinggal berjauhan akan mengalirkan air mata kesayuan tatkala mendengarkan bait-bait lagu ini.Tetapi berlainan sekali bagi diriku.Ungkapan ‘My dad is my hero’ yang selalu ku dengar daripada rakan-rakanku amat bertentangan sekali dengan diriku.Aku tidak pernah tersentuh apabila mendengar bait-bait lagu di atas apatah lagi untuk mengecap nikmat kasih seorang ayah sejakku dilahirkan.Bagiku istilah ‘ayah’ tiada langsung di dalam kamus hidupku,bahkan aku sangat fobia mendengar perkataan tersebut.Aku tidak pernah merasa sekalipun setitis kasih dari beliau semenjak aku dilahirkan.Tidak sedikitpun aku berniat untuk memburuk-burukkan insan yang memiliki syurgaku,tetapi cukup untuk dijadikan iktibar buat ayah-ayah di luar sana supaya menjadi yang terbaik untuk anak-anak mereka.Kepada mereka yang senasib denganku,ambillah iktibar dari kesilapanku ini.Aku juga banyak melakukan kesilapan terhadap beliau.

Aku tidak mahu menjelaskan bagaimana sifat ayahku,tetapi kuharapkan pengertian dari kalian di dalam coretanku ini.Setelah bercerai dengan ibuku,ayahku berkahwin seramai empat orang.Selepas berkahwin lain,ayahku langsung tidak mengirim wang nafkah untuk ibuku dan adik-beradikku yang seramai sembilan orang sedangkan beliau mempunyai harta yang banyak.Beliau mewarisinya daripada arwah bapa beliau yang sememangnya kaya-raya.Aku hampir-hampir berhenti sekolah pada waktu itu kerana tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar yuran persekolahan.Abang-abangku pada waktu itu juga masih lagi belajar dan kesemuanya belum lagi bekerja.Masihku ingat setelah bertahun menghilang tanpa khabar berita,beliau akhirnya datang menjenguk kami.Itupun cuma singgah sebentar kerana rumahku kebetulan satu laluan ke rumah kawan beliau.Yang teramat mengecewakanku,sebaik sahaja aku pulang dari sekolah,ayahku bertanya kepada abang sulungku tentang siapa aku sedangkan beliau dapat mengenali adik bongsuku.Ketika itu aku merasakan betapa luluhnya hatiku apabila seorang ayah tidak mengenali darah dagingnya sendiri.Selepas dia mengetahui siapa aku,dia langsung tidak menyapaku bahkan dia berlalu begitu sahaja.Ku teruskan langkah ke kamar dengan linangan air mata.Selepas dari kejadian tersebut,aku menjadi semakin fobia terhadap insan yang bergelar ayah.Pernah suatu masa dahulu,aku mengisi borang permohonan ke sekolah menengah dan aku langsung tidak menulis bintiku di dalam borang tersebut.Akibat dari kejadian itu,aku mengalami masalah untuk masuk ke sekolah tersebut kerana namaku yang tidak lengkap.Mujur ada seorang ustaz yang sanggup menolongku untuk masuk ke sekolah tersebut.

Selang sebulan selepas menjenguk kami,ayahku datang sekali lagi ke rumah.Kali ini kedatangan beliau bukan untuk menziarahi kami adik-beradik tetapi untuk menghalau kami sekeluarga dari rumah tersebut yang sememangnya atas nama beliau.Punca kejadian tersebut adalah kerana abangku tidak dapat memenuhi permintaannya yang memerlukan wang sebanyak RM25ribu.Tidak dapat aku bayangkan bagaimana seorang ayah yang tidak pernah memberikan wang kepada anak-anaknya tetapi tergamak meminta wang dari seorang anak yang masih lagi belajar.Ekoran dari kejadian itu,kami sekeluarga berpindah dan menyewa sebuah rumah sederhana besar di suatu tempat yang tidak jauh dari rumah asal kami.Ibuku adalah insan yang paling kecewa di dalam hal ini.Ku lihat air matanya gugur di saat kami melangkah keluar dari rumah yang pernah memberikan kenangan manis kepada beliau.Saat itu juga air mataku turut mengalir kesedihan dan ku tanamkan tekad di dalam hati,akanku berikan yang terbaik kepada ibuku suatu hari nanti.Tetapi amat sayang sekali,ibuku pergi terlalu awal sebelum sempat aku kotakan janjiku itu.Mungkin tuhan tidak mahu melihat beliau mengalirkan air mata lagi disebabkan oleh insan yang pernah bergelar suami.

Masihku ingat lagi tarikh 27 Januari 2000 dimana abangku yang kelima dimasukkan ke hospital kerana sakit tenat disebabkan suatu penyakit.Doktor memaklumkan bahawa abangku tidak akan dapat bertahan lama lagi.Abang sulungku memaklumkan perkara ini kepada ayahku supaya beliau datang menziarahi abangku sebelum dia pergi buat selama-lamanya,tetapi jawapan yang diterima amat melukakan kami sekeluarga.Beliau langsung tidak menjejakkan kaki ke hospital,sebaliknya beliau pergi ke Thailand untuk berkahwin dengan isteri yang keempat yang sebaya dengan kakakku.Betapa kecewanya abangku yang terlantar sakit di hospital.Selepas sebulan berkahwin dengan isteri barunya itu,ku dengar beliau telah menukarkan hak milik semua hartanya itu ke atas nama bini barunya sedangkan kami adik-beradik terpaksa berhutang di sana sini untuk meneruskan kehidupan.

Masih dapat ku rasakan seksanya hingga ke hari ini apabila abang sulungku yang belajar dalam jurusan perubatan di Universiti Sains Malaysia terpaksa berhenti kerana beliau perlu bekerja untuk menyara adik-adiknya yang masih lagi kecil.Itulah abangku,itulah ayahku.

Selepas setahun dari kejadian kami dihalau,rumah tersebut dijilat api.Semuanya hancur musnah ketika itu,Ayahku yang berada di dalam rumah ketika kejadian itu sempat menyelamatkan diri.Beliau hanya mampu melihat tanpa mampu berbuat apa-apa kerana api yang marak menyala.Mungkin tuhan mahu memberikan balasan pada hambanya yang lalai di dunia ini.Ayahku langsung tidak mengambil apa-apa iktibar dari kejadian tersebut.Katanya itu hanya kemalangan biasa yang boleh terjadi di mana-mana sahaja.Aku selalu berdoa agar beliau sedar dari kekhilafan beliau itu.

Suatu hari,aku pergi menziarah kawanku yang sakit di rumahnya.Apabila sampai di rumahnya,ku lihat ayahnya yang bersusah-payah menjaganya.Menyediakan ubat untuknya,menyuapkan makanan dan sebelum ayahnya keluar pergi bekerja,dia akan menyalami ayahnya sedangkan aku,sekalipun aku tidak pernah menyentuh tangan ayahku sendiri.Aku meminta diri ke bilik air kerana aku tidak mahu kawanku melihat mataku yang sudah mula basah.Ku lihat potret-potret keluarga yang tergantung di dinding rumahnya amat bahagia sekali dan aku paling tertarik pada potret di mana gambar kawanku sedang mengucup pipi ayahnya.Alangkah bahagianya jika aku dapat berada di tempatnya.

Abangku yang kedua juga cukup trauma dengan sikap ayahku.Dia yang belajar dalam jurusan undang-undang dan syariah di Mesir tidak dapat pulang ke tanah air selama empat tahun berturut-turut kerana tidak mempunyai wang yang cukup.Dia terpaksa menebalkan mukanya meminjam wang daripada rakan-rakan untuk meneruskan pengajian di sana.Baju-baju kuliah juga dipinjam daripada teman-teman serumah.Ayahku pernah berkata,dia tidak menyukai anak-anaknya belajar dalam jurusan yang membabitkan agama.Abangku tetap bersabar dan akhirnya dia berjaya menamatkan pengajiannya dengan cemerlang.

Aku sememangnya tidak mampu untuk memaafkan segala perbuatan beliau terhadap keluargaku.Tetapi kehadiran seorang hamba Allah sudah cukup untuk mengubah segala-galanya dalam hidupku.Sikap ayahnya juga seperti ayahku,bahkan ayahnya lagi teruk dari pandanagan mataku kerana aku sendiri pernah melihat kelakuan ayahnya.Ayahnya seorang kaki pukul,kaki minum,kaki perempuan dan akibat dari sikap ayahnya itu,adiknya mengalami tekanan jiwa yang melampau menyebabkannya menjadi gila.Walau sejahat mana sekalipun ayahnya,dia tetap memaafkan dan mentaati ayahnya.Dia selalu berpesan padaku,walau sejahat dan seburuk mana sekalipun seseorang ayah,syurga kita masih lagi ada padanya.Urusan dosa dan pahala adalah antara beliau dengan Allah.Biar Allah yang tentukan balasannya di akhirat nanti.Tugas kita sebagai seorang anak adalah hanya mentaatinya dan sentiasa mendoakan yang terbaik untuknya,barulah Allah akan memberi syurganya sebagai jaminan buat kita nanti.Aku cukup tersentuh mendengar segala nasihat darinya dan aku mula sedar yang aku juga telah melakukan kesilapan yang besar kerana tidak menghormati ayahku.Sungguh hebat hamba Allah ini.Walau sebesar mana sekalipun ujian yang menimpanya,dia masih lagi mampu bersabar dengan sikap ayahnya dan menunjukkkan contoh yang baik buat diriku.

Dia selalu menceritakan padaku tentang kisah seorang pemuda pada zaman dahulu di mana ibubapanya seorang yang sangat jahat sehingga Allah menurunkan balasan terhadap keduanya dengan mengubah mereka menjadi khinzir.Pemuda ini tidak pernah malu dan membenci keduanya bahkan pemuda inilah yang menjaga ibubapanya dengan baik.Setiap hari pemuda ini akan memandikan keduanya dan dilapkan tubuh keduanya.Selepas semuanya selesai,pemuda ini akan mencium ibubapanya itu walaupun telah bertukar menjadi sebegitu rupa.Setiap hari pemuda ini akan mendoakan kesejahteraan ibubapanya dan akhirnya Allah memberi pengampunan kepada ibubapanya disebabkan doa dari seorang anak yang soleh.Kisah ini ku jadikan pengajaran yang amat berguna buat diriku.Rupa-rupanya baruku sedar,tuhan hanya memberi ujian yang seringan kapas sahaja buatku ,itupun kurasakan beban seperti sebuah gunung yang yang menghempap diriku sedangkan ramai lagi insan-insan di luar sana yang lagi berat ujiannya daripadaku.Sungguhku menyesali perbuatanku ini.

Suatu hari aku diberitahu bahawa ayahku sakit tenat.Kami adik-beradik pergi melawat beliau di rumahnya.Di saat itu baru ayahku mengenali diriku setelah berpuluh tahun sudah berlalu.Ayahku yang terbaring sakit memanggilku dan memegang tanganku sambil menangis seperti anak kecil.Beliau meminta maaf daripadaku kerana dia merasakan dia paling berdosa terhadap diriku.Aku yang pada saat itu telah memaafkan dirinya turut mengalirkan air mata melihat tubuh ayahku yang tidak bermaya lagi.Selang seminggu selepas itu,ayahku pergi buat selama-lamanya dan kuharapkan ayahku dapat memaafkan segala kesilapanku terhadap beliau.Semoga rohnya tenang di sana dan dicucuri rahmat olehNya.Aku berasa amat tenang kerana beliau pergi tanpa ada lagi rasa dendam dalam diriku.Aku amat terhutang budi kepada hamba Allah yang telah banyak menyedarkanku itu.

Wahai hati,

Bila engkau memandang segalanya dari Allah,

Yang mempercepatkan segalanya,

Yang menimpakan ujian,

Yang menyebabkan sakitnya hatimu,

Membuatkan keinginanmu terhalang,

Pastinya damailah hatimu,

Kerana masakan Allah sengaja mentadbirkan segalanya dengan sia-sia,

Bukan Allah tidak tahu deritanya hidupmu,

Pecahnya hatimu,

Tapi mungkin itulah yang Dia mahu,

Kerana Dia tahu,

Hati yang sebegini lebih lunak dan lebih mudah untuk dekat denganNya.

0 comments: